Artikel-artikel dibawah dipetik daripada Berita Harian & Metro.
Putih mata!
Impian skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan kejuaraan
yang dimenangi dua tahun lalu tidak kesampaian apabila gagal melangkah ke final
Piala Suzuki AFF 2012 selepas tewas 2-0 kepada Thailand pada aksi separuh akhir
kedua di Stadium Supachalasai, malam tadi.
Keputusan kontroversi pengadil dari Korea Selatan, Lee Minhu
melayangkan kad merah kepada pertahanan Malaysia, Fadhli Shas pada minit ke-42
ternyata menjadi 'penyumbang' kejayaan Thailand yang mara dengan agregat 3-1
untuk bertemu Singapura pada final timbal balik, 19 dan 22 Disember ini.
Babak pertama menyaksikan kelekaan dua pertahanan Malaysia,
Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mahalli Jasuli nyaris menghadiahkan gol pendahuluan
buat Thailand, mujur rembatan Jakkapan Pornsai pada minit ke-3 dihadang baik
penjaga gol, Farizal Marlias manakala percubaan satu lawan satu Teerasil Dangda
minit ke-29 sedikit sipi. Pada minit ke-42, susulan pergeseran ketika perebutan
bola tinggi, Fadhli dan pemain Thailand, Datsakorn Thonglao kelihatan saling
bertikam lidah menyebabkan pengadil melayangkan kad kuning kepada kedua-dua
pemain tanpa menyedari Fadhli sudah pun mengutip kad kuning pertama pada minit
ke-7.
Bersambung babak kedua, Thailand yang biarpun tanpa
jurulatih, Winfried Schafer di bangku simpanan akibat digantung ternyata
memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi lebih seorang pemain.
Gol pertama Thailand hadir pada minit ke-60 selepas Teerasil
mudah merampas bola daripada Amar Rohidan seterusnya pantas melarikan bola dan
mengatasi Aidil sebelum tenang melepaskan rembatan menewaskan Farizal di
gawang. Hanya selang empat minit, Thailand menambah gol kedua, kali ini
menerusi rembatan pemain sayap, Theerathon Bunmathan ketika keadaan kelam kabut
dalam kotak penalti selepas Farizal menepis bola sepakan percuma.
Seminit kemudian barulah jurulatih kebangsaan, Datuk K
Rajagobal memasukkan Faizal Muhamad selepas mendapati gandingan pertahanan
Amar-Aidil tidak mampu lagi menahan asakan jentera serangan Thailand. Bagi
segera mendapatkan dua gol untuk mengikat agregat 3-3, Rajagobal akhirnya
memasukkan Safee Sali pada minit ke-72 menggantikan Baddrol Bakhtiar, namun
sehingga wisel penamat, tiada jaringan terhasil, sekali gus berakhirnya kempen
skuad Harimau Malaya kali ini.
Artikel ini di keluarkan pada 2012/12/14
Teerasil (kanan) yang menyumbang gol pertama
Thailand diasak pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Razak pada
saingan separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok, malam
tadi.
Saya tidak kecewa: Raja
2012/12/14
Jurulatih kebangsaan, Datuk K
Rajagobal tidak kecewa selepas Malaysia gagal layak ke final Piala Suzuki AFF
2012, sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu kerana anak
buahnya sudah melakukan yang terbaik.
"Selepas kalah 3-0 kepada
Singapura pada aksi pertama peringkat kumpulan, kita berjaya bangkit semula
sehingga ke separuh akhir ini. Jadi saya tak kecewa.
“Lagipun kita terganggu menghadapi
Thailand dengan lima pemain yang cedera. Tapi pemain sudah tunjukkan yang kita
bukan mudah untuk ditewaskan," kata Rajagobal pada sidang media selepas
perlawanan, malam tadi.
Namun pengendali berusia 56 tahun itu
tetap menyalahkan pengadil yang melayangkan kad merah kepada Fadhli Shas pada
penghujung separuh masa pertama sebagai punca kekalahan 2-0 kepada Thailand,
malam tadi.
"Ya memang kita tahu apabila
datang ke sini, Thailand akan beri tekanan untuk mendapatkan gol awal. Kita
sudah main baik pada babak pertama terutama dengan permainan fizikal dan
berintensiti tinggi.
"Tapi semuanya berubah apabila
kita dapat kad merah. Jika tidak, permainan boleh terus seimbang. Walaupun kurang
seorang pemain, kita dapat beri tentangan hebat sebelum gol pertama berpunca
kesalahan individu, Amar Rohidan dan gol kedua, pertahanan lambat menyambar
bola muntah sepakan percuma.
"Memang susah nak bangkit
selepas ketinggalan dua gol dan perancangan saya untuk memasukkan Safee Sali
lebih awal tidak dapat dilakukan kerana beraksi 10 pemain. Tapi pemain sudah
berusaha sedaya upaya.," jelas Rajagobal.
Penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha, (depan)
diasak pemain Thailand, Piyaphon Buntao dalam saingan separuh akhir
kedua di Bangkok, malam tadi.
Apa guna seorang pengadil jika berlaku ketidakadilan dalam sesuatu perlawanan itu. Tidak tahu sama ada pengadil perlawan semalam sudah menerima suapan atau pun tidak namun seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan pengadil perlawanan semalam.
Pengadil tak adil!
“BAGI saya keputusan pengadil itu
tidak betul,” kata ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal yang tidak puas
hati dengan keputusan pengadil, Lee Min Hu melayangkan kad merah kepada Mohd
Fadhli Shas pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF malam tadi.
Keputusan kontroversi pengadil
dari Korea Selatan itu memberi kesan kepada strategi Rajagobal yang menyaksikan
Harimau Malaya terpaksa beraksi 10 pemain lebih 45 minit sebelum tewas 0-2.
Menurut Rajagobal, beliau tetap
bangga dengan persembahan anak buahnya dan yakin keputusan mungkin boleh
berubah sekiranya Fadhli kekal di atas padang.
“Kami bermain baik pada awal
babak pertama meskipun Thailand melancarkan serangan mencari gol awal. Tapi
segala-galanya berubah apabila Fadhli menerima kad merah, bukan mudah apabila
kami kehilangan tonggak utama pertahanan.
“Keputusan perlawanan ini mungkin
berbeza jika Fadhli tidak dibuang padang,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pada separuh akhir kedua di
Stadium Supachalasai malam tadi, Malaysia terpaksa melupakan misi
mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu apabila Thailand meledak dua
gol menerusi jaringan Teerasil Dangda dan Teerathon Bunmathan pada minit ke-60
dan 65.
Gol itu hadir selepas Fadhli
menerima kad kuning kedua pada minit ke-42 kerana didakwa bertelagah dengan
Datsakorn Thonglao.
“Bagi saya, pengadil seharusnya
lebih tahu dengan situasi itu dan beliau membuat keputusan yang salah.”
Menurutnya, biarpun pasukannya beraksi dengan 10 pemain, Thailand hanya berjaya
menjaringkan gol pertama atas kesilapan Amar Rohidan dan gol kedua yang
menyusul selepas itu menyukarkan mereka untuk bangkit.
Sementara itu, ketua jurulatih
Thailand, Winfried Schafer pula enggan mengulas insiden kad merah itu
sebaliknya hanya mahu memuji barisan pemainnya yang berjaya menempah tiket ke
final bertemu Singapura.
“Saya tidak mahu komen, pada
perlawanan pertama di Malaysia, saya dibuang padang sedangkan tidak bercakap
dengan pengadil,” katanya yang sekadar menyaksikan perlawanan malam tadi dari
bangku penonton.
“Kami pasukan lebih baik dan saya
yakin kami boleh menewaskan Singapura di final.”
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14
'Tak tahu kenapa kad merah'
2012/12/14
Saya kesal kerana jadi punca kekalahan
pasukan; Maafkan saya: Fadhli
"Saya minta maaf kepada rakan
sepasukan dan seluruh rakyat Malaysia. Saya sendiri tak tahu kenapa pengadil
membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada saya," kata pemain
pertahanan Harimau Malaya, Fadhli Shas.
Dia dilayangkan kad merah selepas
menerima kad kuning kedua pada minit ke-44 selepas berlaku pergeseran dengan
pemain Thailand, Datsakorn Thonglao susulan kekasaran ketika perebutan bola
50-50 di udara.
Fadhli, 21, dikatakan tidak beraksi
secara kasar, namun pengadil dari Korea Selatan, Lee Min Hu dilihat begitu
'baik hati' melayangkan kad kepada pemain negara.
"Pada mulanya saya cuba mencabar
bola di udara tetapi disiku pemain nombor 7 (Datsakorn). Selepas itu, saya cuba
bertanya kepadanya dan saya tak tahu kenapa pengadil beri kad kuning buat
kedua-dua pemain.
"Memang sangat kecewa kerana
dibuang padang dan saya cukup kesal kerana menjadi punca kekalahan
pasukan," kata Fadhli ketika ditemui selepas perlawanan.
Fadhli meninggalkan padang selepas dilayang kad merah oleh Lee Min Hu, semalam.
Saya tak tahu
Ditanya kemungkinan pengadil
berkenaan 'terlupa' yang dia sudah menerima kad kuning pertama pada minit ke-7
dan sepatutnya hanya memberi amaran lisan kepadanya dan Datsakorn pada insiden
itu, Fadhli berkata: "Saya pun tak tahu nak kata apa. Cukup kecewa dengan
keputusan pengadil."
Selepas ketiadaan Fadhli, Thailand
akhirnya berjaya merobek gawang Malaysia sebanyak dua kali menerusi Teerasil
Dangda minit ke-60 dan Theerathon Bunmathan, empat minit kemudian.
"Saya yakin jika 11 lawan 11,
kita masih mampu untuk menyaingi Thailand, tapi apabila main 10 orang, memang
susah. Saya minta maaf sekali lagi kepada rakan sepasukan dan rakyat
Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment