Dibawah ini DA sertakan artikel yang di petik dari Berita Harian dan Metro.
MEKANIK KEJAM DERA ANAK TIRI
December 13th, 2012
KLANG – Perbuatan kebinatangan
seorang mekanik yang mendera anak tiri lelakinya berusia tiga tahun tanpa belas
kasihan memakan diri apabila dia diberkas selepas aksi kejamnya itu dirakam
menggunakan kamera telefon bimbit sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook.
Suspek berusia 32 tahun tersebut
diberkas pada pukul 8 malam kelmarin di rumahnya di Taman Mas, Kapar di sini
iaitu tempat di mana kejadian dera itu berlaku. Dia diberkas apabila polis
menerima laporan jirannya sejam selepas dia melihat rakaman tersebut.
Difahamkan, ketika serbuan, suspek
berada di dalam rumah itu bersama mangsa tetapi isterinya telah melarikan diri.
Kertas siasatan kes dera kanak-kanak akan diserah kepada
pendakwa Isnin ini
2012/12/14
SHAH ALAM: Kertas siasatan kes dera
kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun oleh bapa tirinya yang tersebar di laman
sosial Facebook baru-baru, sudah siap dan akan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakawa
Raya (DPP), Isnin ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang,
Superintendan Jani Ahmad berkata, kertas siasatan itu akan diserahkan bagi
mendapatkan nasihat dan keputusan daripada timbalan pendakwa raya bagi
menentukan tindakan susulan.
Beliau berkata demikian kepada
Bernama hari ini ketika diminta mengulas perkembangan kes berkenaan selepas
bapa tiri mangsa berusia 32 tahun ditahan di rumahnya di Taman Mas, Kapar,
Klang.
Jani berkata mangsa didera itu kini
dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, di bawah seliaan
Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kes penderaan itu menjadi perbualan
hangat apabila klip video lapan minit dan 33 saat itu yang merakamkan tindakan
lelaki itu menampar, membaling serta menyepak kanak-kanak berkenaan yang
menangis teresak-esak dimuatkan ke laman Facebook sejak Selasa lepas.
Semalam, Timbalan Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rusdi Md Isa berkata polis telah
merekod kenyataan empat individu, iaitu ibu tiri dan ibu kandung mangsa, jiran
serta doktor bagi membantu siasatan terbabit. – BERNAMA
Ibu tiri disiasat
SHAH ALAM: Polis sudah mengambil
keterangan daripada empat individu berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak
lelaki berusia tiga tahun yang didera bapanya di kediaman mereka di Kapar,
Klang, yang rakaman videonya tersebar luas menerusi facebook (fb).
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan
Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Selangor, Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa
berkata, empat individu terbabit ialah ibu mangsa, ibu tiri mangsa, doktor dan
jiran.
Beliau berkata, ibu tiri mangsa
berusia 20 tahun yang juga individu yang merakam perbuatan suaminya mendera
mangsa ditahan di kediamannya di Taman Meru Indah, Klang, kira-kira jam 10
malam kelmarin, namun dibebaskan selepas keterangannya diambil. Katanya, polis
sedang mengesan dan menyiasat individu yang memuat naik rakaman itu ke dalam
fb.
Beliau berkata, bapa mangsa berusia
32 tahun yang juga seorang mekanik direman hingga esok untuk siasatan lanjut
dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang sabit
kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda RM10,000
atau kedua-duanya. Difahamkan, mangsa adalah anak melalui perkahwinan kedua
suspek, namun perkahwinan berkenaan tidak didaftarkan.
Sementara itu, kanak-kanak terbabit
kini ditempatkan di wad pengasingan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR)
Klang, sejak kelmarin dan keadaannya dilaporkan stabil.
Pegawai Perhubungan Awam HTAR, N M
Akmar Irdawaty Zulkifli berkata, mangsa kini ditempatkan di wad pengasingan
bahagian wad kanak-kanak dan sedang dalam pemerhatian serta penilaian kesihatan
pihak hospital.
Katanya, mangsa kini dalam jagaan
pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis sementara laporan kesihatan
mengenainya siap dan akan dihantar ke JKM bagi jagaan.
“Kami tidak dapat membuat kenyataan
selanjutnya kerana laporan kesihatan mengenainya masih belum siap selain kes
ini di bawah pemerhatian polis dan JKM,” katanya.
Muka depan Harian Metro semalam
melaporkan seorang lelaki memukul, menumbuk dan menendang serta menampar
seorang kanak-kanak lelaki yang rakaman videonya tersebar luas menerusi fb.
Kejadian di rumah mereka di Taman
Mas, Kapar, di sini, dipercayai berlaku kira-kira dua bulan lalu sebelum
dirakam dan dimuat naik ke fb.. Mangsa turut diangkat sebelum dilempar ke atas
lantai. Suspek juga tidak mengendahkan mangsa yang menangis kesakitan dan
ketakutan, sebaliknya terus membelasahnya tanpa belas kasihan termasuk menggunakan
senduk dan selipar.
Mangsa yang menangis tanpa henti ada
ketikanya dipaksa berlutut dan mengangkat kedua-dua tangan. Turut berada dalam
rakaman itu ialah dua lagi kanak-kanak lelaki dipercayai keluarga mangsa, namun
mereka tidak diapa-apakan.
Artikel ini disiarkan pada :
2012/12/14
No comments:
Post a Comment